Click to join sahabatsurau

Click to join sahabatsurau

AL-QURAN

>> Selasa, 30 Jun 2009

Laman ini menjelaskan berkenaan Al-Quran, penjelasan serba sedikit supaya kita sama-sama dapat memahami Al-Quran dengan lebih jelas sebagai seorang muslim terutamanya warga kolej Meranti. Kami menggalakkan anda memahami dahulu berkenaan

Al-QURAN sebelum membaca Al-TAFSIR.

Apakah takrif al-Quran? Dari segi istilah, Quran adalah kalamullah yang bermukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui malaikat jibril dalam bahasa Arab yang diriwayatkan secara mutawatir dan membacanya dikira ibadah bermula surah Al-Fatihah dan diakhiri surah An-Nas. Quran merupakan mukjizat terbesar kepada Nabi Muhammad s.a.w kerana Quran mempunyai cirri-ciri mukjizat dari aspek isi kandungan bahkan dari segi bahasa. Dari aspek isi kandungan, ia menceritakan peristiwa dahulu kala berkaitan dengan para nabi dan rasul, perkara ghaib, dan menceritakan peristiwa yang akan berlaku pada masa hadapan. Dari segi bahasa, Quran mempunyai bahasa yang tinggi dan indah. Ketinggian bahasa Al-Quran juga boleh dilihat dari segi kedudukan hurufnya. Kita perlu sedar bahawa wahyu diturunkan secara beransur-ansur dan Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat. Sebelum diturunkan ke bumi ayat-ayat al-Quran berada di Luh Mahfuz dan kemudian Al-Quran diturunkan di Baitul Al-‘Izzah yang terletak di langit dunia. Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dari Baitul Al-‘Izzah kepada baginda melalui malaikat jibril. Mengapa Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat? Diantaranya adalah untuk membezakan Al-Quran dengan kitab-kitab samawi yang lain dan untuk menguji keimanan manusia terhadap peristiwa di alam ghaib juga terhadap kebenaran Al-Quran.

Kami tidak perlu menerangkan berkenaan surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran secara khusus kerana kita mengetahui surah-surah tersebut secara umum. Walaubagaimanapun, kami akan cuba menjelaskannya dalam AL-TAFSIR mengikut kemampuan kami dengan merujuk beberapa kitab Tafsir supaya memudahkan anda memahami Al-Quran. Al-Quran seharusnya dijadikan panduan hidup kepada kita sebagai seorang muslim. Ayat-ayat di dalam Al-Quran boleh dibahagikan kepada 2 iaitu Makkiyyah dan juga Madaniyyah. Takrif Makkiyah dan Madaniyyah ini ada yang berdasarkan tempat dan ada yang berdasarkan masa, mengikut jumhur ulama pengertian berdasarkan masa lebih tepat. Kami tidak perlu mengulas panjang takut mengelirukan anda. Dari sudut pengertian beradasarkan masa, Makkiyyah adalah ayat atau surah yang diturunkan sebelum Rasulullah berhijrah dan Madaniyyah ialah ayat/surah yang diturunkan selepas hijrah. Diantara faedah kita mengetahui Makkiyyah dan Madaniyyah adalah kita dapat mengetahui dan memahami sirah nabi dengan terperinci, dapat juga menambahkan keyakinan terhadap keaslian Al-Quran. Ulama telah menggariskan cirri-ciri ayat Makkiyyah dan Madaniyyah yang tidak kami nyatakan/jelaskan lagi di sini.


Apabila umat islam bertambah ramai terutamanya dizaman khalifah kerana dari sudut sejarah, parsi dan rom yang merupakan 2 kuasa besar dunia pada waktu itu jatuh ke tangan Saidina Umar r.a, maka berlakulah perselisihan bacaan dikalangan umat islam. Ini kerana naskhah Al-Quran pada peringkat awal tidak terdapat baris dan di zaman Saidina Uthman telah dilakukan proses menyalin semula Al-Quran. Saidina Uthman telah dasar dalam penyalinan semula Al-Quran diantaranya sekiranya berlaku perselisihan dalam bacaan hendaklah dirujuk kepada bacaan Quraish. Hanya Al-Quran yang mutawatir dan tidak dimansukhkan(dibatalkan) ditulis semula dan ianya diedarkan ke seluruh Negara untuk mengelakkan kekeliruan bacaan. Dizaman umaiyyah berlaku pembaharuan dalam penulisan Al-Quran seperti meletakkan tanda baris,sukun, sabdu,mad dan titik untuk membezakan antara huruf. Itulah serba sedikit untuk kita mengenal Al-Quran.
Sekarang, kami ingin membahaskan berkenaan ilmu tafsir supaya anda tidak keliru dalam membaca AL-TAFSIR dalam blog ini. Apakah makna ilmu tafsir??? ilmu tafsir membawa maksud suatu ilmu untuk memahami Al-Quran, menerangkan makna dan mengeluarkan hukum-hakam dan hikmatnya. Ia merupakan ilmu yang membahaskan tentang Al-Quran dari segi kehujahan selaras dengan kehendak Allah sekadar kemampuan manusia. Ini kerana di dalam Al-Quran terdapat ayat-ayat Muhkamat dan juga Mutasyabihat. Diantara kepentingan ilmu tafsir dalam kehidupan seorang muslim adalah mampu mentafsir dan memahami Al-Quran dengan baik. Walaubagaimanapun, terdapat syarat-syarat dalam mentafsir Al-Quran. Bukan semua individu boleh mentafsir Al-Quran sesuka hati melainkan menyampaikan apa yang telah ditafsir oleh ulama di dalam kitab-kitab tafsir yang banyak. Kita juga layak mentafsir Al-Quran sekiranya menepati syarat untuk mentafsir Al-Quran. Diantara syarat untuk mentafsir Al-Quran ialah mahir dalam ilmu Bahasa Arab, mahir dalam usul Feqah, mahir dalam ilmu qiraat dan Usuluddin, mahir dalam ilmu Balaghah dan asbab nuzul, mahir dalam ilmu Nasakh Walmansukh juga mahir dalam ilmu hadis.


Walaubagaimanapun, tidak menjadi salah sekiranya kita menyampaikan apa yang dipelajari daripada Al-Quran kerana hadis nabi menyatakan “sampaikan daripada ku walaupun 1 ayat”. Di dalam hadis yang lain juga menyatakan kepada kita supaya tidak menyembunyikan sesuatu ilmu yang dapat memberi faedah kepada orang ramai terutamanya ilmu agama. Antara ulama-ulama tafsir seperti Prof. Hamka, Ibnu Kathir, syed Qutub dan lain-lain telah banyak berjasa kepada islam menulis kitab-kitab tafsir yang digunakan hari ini. Sebagai contoh, tafsir Al-Qurtubi merupakan tafsir yang diguna pakai dan diiktiraf oleh ulama diseluruh dunia kerana di dalamnya bukan sahaja dikemukakan pendapat ulama bahkan hadis-hadis dinyatakan perawi secara terperinci.
Justeru itu, AL-TAFSIR di dalam blog ini boleh dijadikan sumber ilmu kepada kita bahkan ringkasan daripada kitab-kitab tafsir. Walaubagaimanapun, kami ingin memudahkan anda dalam memahami Al-Quran. Oleh itu, hanya ayat-ayat tertentu sahaja akan ditafsirkan di dalam blog ini kerana kita melihat kepada ayat-ayat yang lebih utama untuk difahami dan dihayati, bukan sahaja sebagai seorang mahasiswa bahkan sebagai seorang islam.

0 comments:

Subscribe to sahabatsurau

Powered by us.groups.yahoo.com

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP